Tiada tindakan lanjut kes zakar putus semasa berkhatan, kata polis

Tiada kesalahan jenayah dilakukan dalam “kegagalan” prosuder berkhatan terhadap budak lelaki berusia 9 tahun yang menyebabkan kes itu kini diklasifikasikan sebagai “tiada tindakan lanjut”.

Jabatan Peguam Negara juga berkata tiada bukti kukuh terhadap doktor yang menjalankan prosedur tersebut di sebuah klinik di Kuala Lumpur bulan lepas. Justeru, beliau tidak berhadapan sebarang dakwaan.

Ketua Polis Daerah Sentul R Munusamy memberitahu FMT kes itu kini ditutup, sambil menambah ibu bapa kanak-kanak itu sudah dimaklumkan mengenai keputusan Pejabat Peguam Negara semalam.

Kes ini pada mulanya disiasat mengikut Seksyen 338 Kanun Keseksaan kerana menyebabkan kecederaan parah melalui tindakan yang membahayakan nyawa atau keselamatan orang lain.

Munusamy memberitahu FMT, surat daripada Pejabat Peguam Negara berkata tiada kesalahan jenayah dilakukan dan tiada bukti kukuh untuk mendakwa doktor itu.

Dalam reaksinya, peguam keluarga itu, P Uthayakumar berkata anak guamnya mengarahkan beliau menulis surat kepada Jabatan Peguam Negara untuk mengkaji semula kertas siasatan.

“Mereka tidak berpuas hati dengan keputusan itu,” kata Uthayakumar, sambil menambah keluarga juga akan menulis kepada Majlis Perubatan Malaysia untuk bertanya tindakan yang diambil terhadap doktor berkenaan.

Dilaporkan doktor secara tidak sengaja memotong kepala zakar kanak-kanak malang itu menggunakan gunting semasa prosedur berkhatan pada 15 Disember 2016.

Bapanya, yang mengiringi beliau di klinik, membuat laporan polis pada hari yang sama.

Ibu bapanya turut mendakwa Hospital Kuala Lumpur (HKL) menjalankan pembedahan untuk menyambungkan semula kepala zakar terputus tanpa kepakaran atau teknologi yang bersesuaian.

Dalam sidang akhbar Jumaat lalu, pasangan itu merayu kerajaan membantu “memulihkan” anak tunggal lelaki mereka.

Ketua Pengarah Kesihatan Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berjanji tindakan tegas terhadap doktor dan profesional kesihatan lain yang menjalankan pengkhatanan tanpa latihan mencukupi.

READ  MAS London-KL flight resumes journey after repairs